Rakyat perlu tahu risiko berada di luar rumah dalam tempoh PKPB.



Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyalurkan maklumat kepada rakyat mengenai risiko yang bakal mereka hadapi ketika berada di luar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Maklumat itu penting untuk kesedaran mereka, sekali gus mengambil langkah berhati-hati dan berjaga-jaga.

Menurut Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil, dalam tempoh PKPB tidak lagi ada sebarang penguatkuasaan sebagaimana dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, kedua, ketiga dan keempat dari 18 Mac hingga 3 Mei lalu.

Kata beliau, tiada siapa yang akan membahayakan diri dan ahli keluarga lebih lagi anak-anak, jika mereka tahu risiko sebenar akan berlaku jika dijangkiti virus Covid-19.


“Kita dimaklumkan, dengan pewartawaan PKPB yang berkuatkuasa Isnin lalu, secara automatik membatalkan semua peraturan PKP, melainkan ada beberapa larangan masih kekal seperti rentas negeri.

“Bagaimanapun, kita masih tertakluk kepada SOP Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), manakala Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Isham, apabila PKPB atau PKP kelima sudah diwartakan, maka PKP keempat yang diwartakan sebelum ini terbatal kerana pewartaan itu turut menyatakan tarikh permulaan dan penamatannya.

Oleh itu, kata beliau, tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan ujian jangkitan kepada orang ramai yang berada di jalan raya, tempat tumpuan dan perkumpulan.

“Ini perlu dilakukan untuk pemantauan, pencegahan dan tindakan cepat sekiranya trend jangkitan Covid-19 kembali meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette