Bayi terkecil S'pura seberat 345 gram semakin sihat 6 bulan kemudian

 


SEORANG bayi seberat 345 gram dan sekecil tapak tangan yang dilahirkan enam bulan lalu mungkin antara bayi paling ringan yang selamat selepas dilahirkan pramatang di sini.

Bayi itu kini seberat 4.27 kilogram.

Bayi tersebut, Nur Zaiya Naziha Muhammad Saufi dilahirkan selepas berada dalam kandungan hanya 23 minggu dan enam hari.

Semasa dilahirkan, saiz tubuhnya hanya sebesar telapak tangan orang dewasa dan anggota badannya pula sepanjang jari.

Tempoh kehamilan biasanya sekitar 40 minggu dan bayi itu lahir tidak cukup bulan.

Nur Zaiya dilahirkan di Hospital Universiti Nasional (NUH), pada 27 Mac, semasa puncak wabak Covid-19 dan sebelum Singapura melaksanakan pemutus litar dua bulan, lapor The Straits Times.

Ibu bapanya, Cik Rohani Mustani, 37 tahun, seorang pegawai logistik dan Encik Muhammad Saufi Yusoff, 36 tahun, seorang juruteknik sistem, mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam untuk mengambil keputusan sama ada mahu bayi itu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean kecemasan.

Cik Rohani pada mulanya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan ekoran sakit perut, dan dijangka dapat pulang untuk berehat.

"Saya fikirkan ia hanya sakit gastrik biasa... Tetapi A&E (unit kemalangan dan kecemasan) memberitahu saya bahawa saya mengalami praeklampsia, yang agak mengejutkan dan saya harus melahirkan bayi itu pada hari berikutnya," singkap beliau.

Praeklampsia adalah komplikasi semasa hamil, yang antaranya berlaku apabila tekanan darah menjadi tinggi.

Cik Rohani dimaklumkan bahawa bayinya hanya mempunyai peluang 20 peratus untuk hidup, tetapi beliau dan suaminya memutuskan untuk meneruskan rancangan agar bayi dilahirkan meskipun tidak cukup bulan.

Bayi itu dibawa ke unit jagaan rapi (ICU) sejurus selepas dilahirkan.

"Pada masa itu, saya perlu mengambil keputusan untuk menyelamatkan diri atau anak saya.

"Doktor kata tekanan darah saya sangat tinggi... saya harus melahirkannya secepat mungkin. Jika tidak, itu boleh membahayakan nyawa saya," kata Cik Rohani.

"Walau hanya 20 peratus, harapan tetap ada. Apa pun yang berlaku, terserah kepada takdir. Saya gembira saya dapat melahirkannya," tambah beliau.

Nur Zaiya adalah anak keempat pasangan itu. Mereka mempunyai dua anak perempuan lain, berusia tujuh dan empat tahun, serta seorang anak lelaki, berusia enam tahun.

Dr Krishnamoorthy Niduvaje, seorang konsultan kanan di jabatan neonatologi di NUH, mengatakan bahawa adalah amat jarang sekali seseorang bayi itu dilahirkan sebelum kehamilan 24 minggu.

Terdapat beberapa kes serupa di NUH dalam beberapa tahun lalu dan tiga bayi dapat diselamatkan.

Sebelum Nur Zaiya, bayi paling ringan yang dilahirkan di NUH ialah seberat 460 gram, dan dia lahir pada 2016, kata beliau.

Hampir seorang daripada 10 bayi dilahirkan antara 24 dengan 37 minggu.

Seorang daripada 100 bayi yang dilahirkan seberat di bawah 1,500 gram dan perlu menjalani rawatan rapi.

Bayi-bayi ini biasanya dilahirkan sebelum 32 minggu, kata Dr Niduvaje.

Seorang daripada lima bayi dilahirkan sebelum waktunya kerana praeklampsia, tambahnya.

Semakin pramatang bayi itu, semakin banyak kerumitan kesihatan yang mungkin mereka alami.

Nur Zaiya diberi ubat kerana terdapat lubang kecil di jantungnya, dan telah menjalani rawatan laser untuk retinopati pramatang atau ROP, penyakit mata yang biasanya dialami bayi yang dilahirkan sebelum 31 minggu.

Setakat ini, Nur Zaiya menunjukkan prestasi yang baik, kata ibu bapanya.

Ketika dibenarkan pulang selepas 131 hari di hospital, berat badannya sekitar dua kilogram.

Dia bernafas secara biasa dan tanpa memerlukan bantuan pernafasan tambahan. Nur Zaiya juga boleh minum susu dari botol secara sepenuhnya.

Jururawat NUH, Cik Wang Xia, yang merawatnya, menyifatkan pemulihannya sebagai perkembangan yang hebat kerana ramai bayi pramatang memerlukan bantuan oksigen apabila dibenarkan pulang.

Nur Zaiya perlu menjalani pemeriksaan berkala untuk mengawasi kesihatannya.

Berat badannya pada masa ini serupa dengan bayi berusia sekitar dua bulan, yang dijangka kerana beliau dilahirkan empat bulan lebih awal.


Baca Juga : Ini Ucapan Selamat Hari Raya Idul Fitri yang Sahih.