Pukul hingga cedera parah, lelaki disyaki sakit mental diburu

 


SIBU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki lingkungan 30-an disyaki mempunyai masalah mental yang dipercayai mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki di sebuah rumah teres di Lorong Arau 6 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami cedera trauma pada bahagian otak dan tengkorak bahagian belakang pecah.
"Mangsa juga mengalami luka pada pipi kanan hingga cuping telinga dan patah tulang tangan kiri. Mangsa stabil dan boleh bercakap," jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sekitar jam 7.20 pagi pengadu, 59, dihubungi oleh adik lelakinya (mangsa) memberitahu ada seorang lelaki hendak masuk ke dalam rumahnya.
"Ketika abang mangsa tiba di rumah sekitar jam 8 pagi, mendapati pintu pagar telah terbuka. Pengadu masuk ke dalam rumah dan melihat adiknya dalam keadaan terbaring terlentang.
"Bahagian kepala berlumuran darah serta ada kesan cedera di telinga kanan. Pengadu kemudian menghubungi ambulans dan adiknya dibawa ke hospital," ujarnya.
Stanley berkata, hasil siasatan mendapati rumah tersebut adalah peninggalan ibu bapa pengadu dan kini hanya dihuni oleh mangsa seorang diri.
"Menurut pengadu, adiknya, 53, dahulunya bekerja di sektor perbankan, tetapi mengalami penyakit angin ahmar, tidak bekerja lagi dan menghabiskan masanya di rumah," jelasnya.
Hasil lawatan ke tempat kejadian, Stanley berkata, mendapati tiada kesan pecah masuk ke dalam rumah, tiada kesan pergelutan, manakala dompet serta telefon bimbit milik mangsa yang diletak di meja ruang tamu rumah juga tidak diusik.
"Polis turut merampas sebatang cangkul dipercayai senjata yang digunakan suspek. Menurut pegawai perubatan, konsisten dengan kesan cedera dialami mangsa. Senjata yang digunakan adalah berat dengan ketajaman yang tumpul," ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat jiran mangsa, seorang lelaki tidak dikenali berada di halaman rumah mangsa mencampak cangkul ke luar pagar kemudian melarikan diri.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Pukul hingga cedera parah, lelaki disyaki sakit mental diburu SIBU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki...

Geplaatst door Berita Sibu op Zaterdag 17 oktober 2020